Home

Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan 1431H

Marhaban ya Ramadhan!

Beberapa hari lagi kita bakal bertemu bulan Ramadhan al-Mubarak. Seperti apa hendaknya reaksi dan tingkah kita tatkala Ramadhan menjelang tiba? Pastinya kalangan kita punya persepsi yang berbeza. Ada yang bergembira kerana tidak sabar menyambut hari Raya Aidilfitri selepas berpuasa. Ada juga yang bermasam muka kerana terpaksa berlapar dan tidak minum di siang hari dalam tempoh sebulan, alasannya kerana takut tidak bertenaga dan merasa lemah. Alangkah ruginya kita jika termasuk dalam golongan seperti ini. Rasulullah SAW mengingatkan; “Berapa banyak orang yang berpuasa, tidak mendapat sesuatu dari puasanya selain lapar dan dahaga.” Namun berbeza dengan orang-orang yang mukmin, mereka menanti dan menyambut Ramadhan dengan penuh perhatian dan kesungguhan. Hal ini digambarkan dalam hadis, dari Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda; "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkanlah dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih). Rasulullah SAW dan para sahabat sangat bergembira apabila Ramadhan menjelang tiba kerana pada masa inilah mereka dapat meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT dalam misi memburu syurga Allah SWT yang hakiki. Sabda Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Tabrani yang bermaksud; “Andaikata manusia mengetahui keistimewaan atau kemuliaan bulan Ramadhan kerana pahala yang berlipat ganda maka sesungguhnya umatku mengharapkan setahun ini akan menjadi bulan Ramadhan seluruhnya.” Terdapat banyak lagi hadis yang menyatakan kelebihan dan kenikmatan bulan Ramadhan. Justeru, dalam sisa-sisa hari sebelum tibanya Ramadhan, baik kiranya kita menyediakan diri dengan persiapan yang secukupnya sebelum kita melayari bahtera Ramadhan 1431 Hijrah tahun ini.


‘Salam Mujahadah & Selamat Berpuasa’

No comments: