Thursday, July 29, 2010
Ucapan Pengarah Ilaj Qulub
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh
Saudara Pengerusi Majlis,
Yang dialu-alukan penceramah, al-Fadhil Ustaz Aman Daiman bin Md Zain,
Yg dihormati YDP Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS) sesi 2010/2011,
Saff kepimpinan PMUS,
Yang berusaha Timbalan Pengarah program Ilaj Qulub,
AJK program Ilaj Qulub,
Mahasiswa/i, Ikhwah dan akhwat yang dikasihi sekalian…
Iqbal berkata:
HIMPUNKANLAH DAUN-DAUN YANG BERHAMBURAN INI
HIDUPKANLAH LAGI AJARAN SALING MENCINTA
AJARI LAGI KAMI BERKHIDMAT SEPERTI DULU
Segaja saya mulakan bicara dengan membaca ungkapan indah penyajak terkenal Iqbal bagi menggambarkan betapa saya juga punya hasrat yang sama sepertinya. Merindui umat ini kembali bersatu seperti dahulu.
Meneliti secara dalam ungkapan Iqbal itu betapa sangat nyata bahawa benar umat Islam kini ibarat daun-daun yang bertebaran. Ditiup angin terbang berhamburan. Tiada ikatan, tiada kesatuan, tiada kekuatan.
Ayuh Bersatu
Begitulah juga keadaannya kita di Universiti Sultan Zainal Abidin, mahasiswa/I Islam sudah hilang kekuatannya dan keizzahaannya. Kita seolah-olah diperkotak-katikkan. Dipandang sinis juga diketepikan. Jumlah kita yang ramai, yang mendominasi universiti ini tiada memberi apa-apa kesan. Saya mahu mengulang ungkapan yang pernah saya bicarakan dahulu pada sesi Ilaj Qulub yang lepas bahawa keadaan kita (mahasiswa Islam/ FKI) dengan bilangan yang ramai tidak memberi kesan kepada bi’ah di universiti ini. Sepatutnya kitalah yang mencorakkan bumi ini. Bumi UNiSZA ini. Mengisi dan melakarkan hari-hari di sini dengan keredhaan dan rahmat Allah SWT pada menanam benih-benih bi’ah solehah. Itulah tugas dan peranan setiap daripada kita.
Anda semua boleh melihat apa yang sedang melanda universiti ini. Budaya hidonisme mula merebak dan digalakkan. Contoh paling dekat pada pesta konvokesyen lepas. Anda sendiri boleh menilai. Ingat, universiti ini adalah universiti Islam. Fakulti Pengajian Kontemporari Islam mendominasi universiti ini. Tapi lihat dan perhatikanlah, kehormatan dan maruah kita seakan tercalar malu. Hati saya seperti dirobek-robek melihat perubahan universiti ini secara perlahan-lahan. Mungkin juga kalian turut merasainya. Sedarlah!
Kami PMUS akan terus bergerak dan berjuang. Tetapi hanya kami tidak cukup. PMUS perlukan sokongan daripada seluruh mahasiswa FKI khususnya. Jentera persatuan yang lain mesti menyatu dan bekerja bersama. Agar kekuatan kita terserlah digeruni yang lain. Kita bergerak dan berjuang bersama membina kekuatan lalu kita gegarkan bumi ini dengan aksi-aksi kita yang padu. Islam mesti diangkat kembali ke tempatnya.
Selamat Kepada Mahasiswa/I Baru
Ucapan selamat dan tahniah kepada mahasiswa/I baru ke UNiSZA kerana telah berjaya menempatkan diri di sini. Bersyukurlah kerana terpilih untuk melanjutkan pengajian di sini. Sesungguhnya anda bertuah kerana universiti ini masih belum dinodai sepenuhnya oleh gejala negative berbanding universiti lain di Malaysia. Suasana di sini masih terjaga sebahagiannya. Maka berusahalah dan bermujahadahlah sehabis mungkin. Kemenangan dan kejayaan menanti di hadapan. insyaAllah!
'Salam Mujahadah & Selamat Berjuang'
Abu Zaid
Pengarah ‘Ilaj Qulub
Lujnah Dakwah & Tarbiyyah PMUS
Sesi 2010/2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment