Home

Sunday, November 7, 2010

Tip Menduduki Imtihan


1) SEBELUM IMTIHAN

-melazimi solat malam(tahajud)..
-jaga hubungan kita dgn allah mahupun dengan manusia..
-memohon maaf kepada ibu bapa kita n mnta mereka mendoakan kejayaan kita...
-minta maaf kepada guru2 serta mohon keberkatan segala ilmu yg pernah mereka curahkan kepada kita...
-memohaon maaf kepada sahabat2 n org2 yg ada kaitan dgn kita..
-sentiasa memaafkan ore lain...
-elakkan dari menyakiti perasaan sahabat2 terutama ahli bait.
-study smart...jgn tertekan sangat..agak2 tensyen tido jer..;>
-pastikan punyai persediaan yang cukup utuk menghadapi imtihan esok hari...

2) SEBELUM MASUK DEWAN

-pastikan dri sentiasa dlm keadaan berwudu'..
-lakukan solat sunat sebelum memasuki dewan..
-pastikan tiada nota2 yg terselit di baju@badan anda..haram ;>
-ulangi segala yg anda telah baca sepintas lalu..

3) SEBELUM MENJAWAP SOALAN

-baca al-fatihah...
-selawat...3x...
-baca surah "insyirah" 3x...
-doa dipermudahkan urusan menjawap,memahami soalan yg dberi..
-baca setiap soalan dengan teliti sebelum menjawab,pastikan dri memahami kehendak soalan

4) SEMASA MENJAWAP

-mulakan dengan lafaz bismillah..
-tulis di tengah2 belah atas kertas jawapan anda perkataan lafaz basmalah...
-mulakan jawapan dengan memuji Allah n nabi muhammad s.a.w (cadangan)
-jawapan hendaklah di tulis dengan kemas dan tersusun...
-pastikan no soalan n jawapan di tulis...
-jawapan bg soalan yang kedua di tulis di muka surat yang lain,begitulah seterusnya..
-sekiranya anda terlupa (selawat 3x) n baca( 3x اللهم يسر ولاتعسر)
-jawap degann hati yang tenang

5) SEBELUM HANTAR

- Pastikan jangan keluar selagi masa belum tamat krn itulah waktu paling berharga, segala maklumat biasanya akan keluar pada waktu tersebut.
-pastikan telah menjawap segala soalan yg diberi.
-semak balik semua jawapan2 yg antum tulis..
-baca ( ya latif 3x ) hembus di setiap helaian kertas jawapan..jgn kuat sangat..


6) SELEPAS HANTAR

- tawakal n banyakkan berdoa agar di beri kejayaan
- abaikan apa yang telah berlalu bersedia utuk madah yg seterusnya
- klu xde madah balik tidooo he ;> alhamdlillah..

k ni la sahabat2 sediakit sebanyak tips2 yg ana dapat kongsi bersam sahabat2..semoga ia dapat mendatangkan faedah kepada sahabat2..apa2 pun yag penting kita mesti ada DUIT..
Doa,Usaha,Ikhtiar,Tawakal.....

"tanpa usaha kejayaan xkan datang bergolek kepada kita".."tanpa keberanian mimpi xkan bermakna" "hendak seribu daya xnak seribu dalaih" "bersungguh2lah kamu jangan lah kamu malas,dan janganlah kamu jadi orang yang lalai,maka akan menyesallah bagi siapa yang malas dan lalai" "barangsiapa yang berusaha dia akan dapat" "allah akan beri sebanyak mana usaha hambanya itu"

semoga dengan kata2 ni dapat meningktkn semangat sahabat2 bagi menhadapai fatrah imtihan ini,ana berdoa agar kita sama2 dikurniakan dengankejayaan yang cemerlang amin!!

Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan 1431H

Marhaban ya Ramadhan!

Beberapa hari lagi kita bakal bertemu bulan Ramadhan al-Mubarak. Seperti apa hendaknya reaksi dan tingkah kita tatkala Ramadhan menjelang tiba? Pastinya kalangan kita punya persepsi yang berbeza. Ada yang bergembira kerana tidak sabar menyambut hari Raya Aidilfitri selepas berpuasa. Ada juga yang bermasam muka kerana terpaksa berlapar dan tidak minum di siang hari dalam tempoh sebulan, alasannya kerana takut tidak bertenaga dan merasa lemah. Alangkah ruginya kita jika termasuk dalam golongan seperti ini. Rasulullah SAW mengingatkan; “Berapa banyak orang yang berpuasa, tidak mendapat sesuatu dari puasanya selain lapar dan dahaga.” Namun berbeza dengan orang-orang yang mukmin, mereka menanti dan menyambut Ramadhan dengan penuh perhatian dan kesungguhan. Hal ini digambarkan dalam hadis, dari Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda; "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkanlah dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih). Rasulullah SAW dan para sahabat sangat bergembira apabila Ramadhan menjelang tiba kerana pada masa inilah mereka dapat meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT dalam misi memburu syurga Allah SWT yang hakiki. Sabda Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Tabrani yang bermaksud; “Andaikata manusia mengetahui keistimewaan atau kemuliaan bulan Ramadhan kerana pahala yang berlipat ganda maka sesungguhnya umatku mengharapkan setahun ini akan menjadi bulan Ramadhan seluruhnya.” Terdapat banyak lagi hadis yang menyatakan kelebihan dan kenikmatan bulan Ramadhan. Justeru, dalam sisa-sisa hari sebelum tibanya Ramadhan, baik kiranya kita menyediakan diri dengan persiapan yang secukupnya sebelum kita melayari bahtera Ramadhan 1431 Hijrah tahun ini.


‘Salam Mujahadah & Selamat Berpuasa’

Saturday, August 7, 2010

Jom Edar Risalah

PROGRAM EDAR RISALAH
SEMPENA MENYAMBUT RAMADHAN 1431H


Tarikh: 9 Ogos 2010
Hari: Isnin
Masa: Selepas Solat Asar
Tempat: Berkumpul Di Surau Thoriq (surau baru)

"SEMUA MAHASISWA/I DIJEMPUT DATANG"

Sunday, August 1, 2010

Allahumma Ballighna Ramadhan



Sedar ataupun tidak, bulan suci mulia yang telah kita tinggalkan lalu dengan penuh pengabdian dan keazaman untuk peningkatan sebagai seorang Muslim yang benar-benar menyerah, tunduk patuh kepadaNya bakal menjelang tiba. Maha Suci Allah yang telah mengurniakan umur yang setahun lebih panjang dengan mengurniakan kita sekali lagi Ramadhan, untuk kita koreksi diri, pertambahkan iman dan persiapkan kekuatan dan bekalan. Seperti doa yang biasa kita ucapkan; Allahumma Ballighna Ramadhan.
Seperti doa yang diajarkan Rasulullah saw kepada kita;

Apabila Rasulullah saw melihat anak bulan Rejab, baginda membaca, yang bermaksud,

Ya Allah, rahmatilah kami dengan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kepada kami Ramadhan. (Hadith riwayat at-Tabrani dan Ahmad)

Betapa besar kurniaan Allah kepada kita di dalam bulan Ramadhan, dimana Rasulullah telah mengajarkan kita untuk berdoa agar kita dihidupkan sehingga sampai bulan Ramadhan, supaya bulan itu dimanfaatkan untuk kita menjadi seorang hamba yang patuh kepadaNya.

Bagi para daie ilallah, peluang mengecapi Ramadhan sememangnya ditunggu, di kala tamatnya Ramdhan yang lepas dengan penuh tangisan ketakwaan dan air mata keinsafan. Bulan bukan sekadar nikmat, tetapi penuh ujian serta peluang amal dakwah untuk mendekatkan manusia pada jalan Allah swt.

Persediaan dan perancangan perlulah dilakukan untuk kita memaksimumkan segala peluang yang di bulan Ramadhan ini. Sebagaimana yang dimaklumi, amal kebajikan akan diganjarkan setingkat lebih tinggi jika ia dilakukan pada bulan Ramadhan. Yang sunat diberi pahala wajib. Yang wajib digandakan dengan gandaan sesuai dengan kurniaan Allah swt Yang Maha Kaya.

Ketika Ramadhan menjelang, Rasulullah saw bersabda bermaksud, “Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan Fardhu, seolah-olah dia telah mendapat 70 pahala Fardhu di bulan-bulan yang lain. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan amalam-amalan Sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan-amalan Fardhu di bulan-bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar. Ia adalah bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari Neraka…” (Riwayat Ibn Khuzaimah)

Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadhan ialah:

1) Memahirkan diri dengan segala rukun,sunat,harus,makruh yang berkaitan dengan puasa di bulan Ramadhan, sunat tarawih dan lain-lain lagi.

2) Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajjud, untuk mendekatkan diri pada Allah, dan membiasakan tahajjud di bulan Ramadhan.

3) Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah. Bagi mereka yang telah akil baligh, maka belajarlah membayar zakat fitrah sendiri.

4) Menyediakan diri dengan kurang makan dan berpuasa, namun perlu diingat dengan sabda Nabi saw dari Abu Hurairah;yang bermaksud;

Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa (riwayat Muslim)

5) Strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan, bacaan, tadabbur, tadarrus al-Quran. Pada bulan ini kita mempunyai kelebihan kerana musuh ketat manusia telah di rantai, sebagaimana sabda Rasulullah saw dari Abu Hurairah; yang bermaksud;

Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu. (riwayat Muslim)

6) Melatih diri semua sifat Islamiah seperti sabar, kurang bercakap lagha dan keji, menjauhi mengumpat dan mengata, dan perbanyakkan senyuman kepada semua sahabat.

Jadi sahabat sekalian, sematkan azam masing-masing untuk kita memperbanyakkan amalan fardhi dan amalan dakwah kita di bulan Ramadhan yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi. Persiapkan mental mulai sekarang dan tekunlah istiqamah dengannya.

Doa kita "Allahumma Bariklana fi Sya'ban wa Balligna Ramadhan." Ameen!

Saturday, July 31, 2010

Memotivasikan Diri Bersama ‘La Tahzan’

Oleh: Dhiya'

Sewaktu di Tahan di wad sebahagian waktunya saya habiskan meneliti kitab karangan Dr. ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni berjudul ‘La Tahzan’.

Berlayar dalam lautan hikmah pada bicara La Tahzan sungguh mengasyikkan, membelai, memotivasi, menjentik akal dan jiwa agar bangun untuk hidup. Ia mengajar kita mengoreksi iman dan iktiqad. Ianya mengajak kita membongkar rahsia tasawuf hati. Jiwa yang mesti hidup dengan keterikatan kepada Sang Khaliq. Dalam erti kata bergantung dan berharap hanya pada Tuhan Yang Satu, Allah Azza Wa Jal.

Ayat-ayat cinta dari Allah SWT yang diterapkan menjadi penguat hujah lalu ditambah hadis-hadis Nabi SAW menjadikan setiap perbicaraan dalam buku La Tahzan tersangat indah. Dr ‘Aidh sangat bijak tatkala menukilkan syair-syair dari pujangga-pujangga terkenal, kata hikmah tokoh Islam dan Barat serta para Ilmuan juga pemikir, menjadikan kitab ini apabila dibaca ibarat titis embun yang turun menyerap ke dalam nubari, segar dan menyejukkan hati. Justeru setiap perbicaraannya membelai jiwa yang tandus dan kontang, yang dahagakan semangat dan kekuatan.

Terkadang saya senyum sendiri kala membaca gurisan penanya, saya menangis sedih, ada waktunya semangat saya kembali pulih saat hampir tersungkur jatuh, sebahagian bacaan pada buku ini mengubati dan menemani hari-hari saya di wad. Meski saya belum bisa mengkhatamkannya.

Sesungguhnya memiliki ‘La Tahzan’ sangat istimewa!

Thursday, July 29, 2010

Air Mata Keinsafan


Dua belah mata boleh menangis, tetapi hati tetap reda atas ketentuan-Nya. Demikianlah keadaan orang Mukmin yang bersedih. Tawa dan tangis, gembira dan sengsara, nikmat dan ujian semuanya adalah lumrah kehidupan.

Seseorang itu tidak mungkin hanya melalui satu episod dalam kehidupannya, sedih dan menangis untuk selama-lamanya. Semua akan datang dan pergi silih berganti, tiada yang kekal di dunia ini.

Orang beriman berada di atas batas pertengahan, tidak berlebih-lebihan mengungkapkan perasaan yang bergejolak di hati. Inilah yang disebut sebagai jiwa hamba yang zuhud. Apabila mendapat nikmat, tidak terlalu gembira dan jika diserang musibah tidak pula terlalu bersedih. Semua dikembalikan kepada ketentuan Allah semata-mata.

Menangis adalah suatu ungkapan perasaan normal pada diri manusia. Biasanya manusia menangis atas sebab tertentu. Mungkin berduka kerana sudah kembali kepada Allah seseorang yang mereka kasihi. Kerana rindu yang menyeksa kepada orang disayangi.

Begitu juga orang akan menangis apabila menahan sakit, tidak kira sakit kerana dilukai perasaannya ataupun sakit pada zahir tubuh badannya. Orang akan menangis apabila kehilangan harta, diseksa dan dizalimi, diusir atau dihina peribadinya dan dimalukan di khalayak ramai.

Menurut al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah, tangisan boleh diperincikan menjadi 10 jenis mengikut pelbagai maksud dan tujuan. Tangisan kasih sayang, ketakutan, gembira, kegundahan, cinta dan rindu, kesedihan, tidak berdaya, kemunafikan, orang upahan dan tangisan ikut-ikutan.

Satu tangisan yang istimewa dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-Nya. Tangisan ini tidak bersifat melemahkan semangat, bahkan ia boleh menghidupkan jiwa yang sudah lama mati. Ia tidak mendatangkan rasa putus asa dan kesakitan, bahkan air mata ibarat gelombang membangkitkan rasa optimis, kecekalan dan azam bergelora.

Tangisan itu membawa satu janji untuk hidup lebih bererti dan ia mampu mencelikkan pandangan mata hati meneroka alam lebih jauh lagi. Alam ghaib tidak nampak di mata kasar, hanya hati yang beriman boleh merasai kebenarannya. Tangisan itu dianugerahkan kepada Nabi dan Rasul, syuhada dan orang salih. Mereka berhak mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan, selain perlindungan-Nya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Dan seseorang yang berzikir mengingati Allah dalam keadaan sendirian, lalu berlinanganlah air matanya kerana takutkan Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Tangisan itu mendatangkan kelembutan hati dan membangkitkan rasa takut kepada Allah. Saidatina Aisyah Ummul Mukminin menangis ketika membaca ayat al-Quran dalam sembahyangnya, yang bermaksud:

“Maka Allah memberi kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka.” (Surah al-Tur, ayat 27)

Dan menangis pula ketika membaca ayat Allah yang bermaksud:

“Jika Engkau menyeksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu. Dan jika Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Maidah, ayat 118)

Saidina Umar al-Khatab berkata: “Seandainya ada seruan dari langit yang mengatakan: Wahai manusia, sesungguhnya kalian semua masuk syurga, kecuali seorang. Tentulah aku amat takut kalaulah orang itu adalah diriku.” Maka beliau pun teresak-esak demi membayangkan kengerian peristiwa itu.

Saidina Ali bin Abi Talib berkata: “Sesungguhnya aku menyaksikan sahabat Rasulullah SAW, tetapi kini aku tidak menemukan lagi orang seperti mereka. Sesungguhnya mereka berpagi-pagi dalam keadaan yang kusut, mata yang bengkak kerana menangis ketika qiyam pada malam hari. Mereka membaca al-Quran sambil berdiri, duduk dan berbaring pada lambung mereka. Mereka berzikir dengan tubuh yang bergoncang bagaikan pohon ditiup angin kuat sedangkan mata mereka basah oleh air mata sehingga membasahi pakaian mereka. Demi Allah, seolah-olah keadaan umat sekarang seperti umat yang semalaman dalam keadaan lalai.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Aku belum pernah melihat sesuatu yang boleh menyebabkan orang yang tidur terbangun lantas lari daripada satu ancaman seperti ancaman neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Malam yang panjang itu sebenarnya ada bahagian untuk melembutkan hati, ada ruang mengadu kepada Allah, ada peluang mengetuk pintu maghfirah-Nya, ada kesempatan meminta perlindungan daripada azab neraka. Tetapi manusia yang lalai sudah melepaskan peluang keemasan itu untuk sekadar menikmati mimpi yang sebenarnya tidak dapat memuaskan hati.

Untuk mencapai darjat iman yang tinggi seperti sahabat Rasulullah SAW, tentu banyak rintangan yang harus dihadapi. Malas dan leka dengan permainan serta hiburan membuat hati manusia keras, ditambah lagi kurangnya ilmu, penghayatan mengenai jalan mendekatkan diri kepada Allah.

Kesibukan memuaskan nafsu syahwat terlalu mengganggu kekhusyukan hati. Akhirnya kelalaian itu menjadi kebiasaan, bagi yang sudah terbiasa akhirnya bukan menjadi suatu keaiban lagi selepasnya. Semakin lama dirinya semakin tenggelam kealpaan. Bahawa kita perlukan pertolongan Allah kerana hanya Allah yang berkuasa menyelamatkan manusia daripada kejahatan dirinya sendiri.

Allah berfirman menerusi lisan Nabi Yusuf yang bermaksud:

“Sesungguhnya nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Apabila nafsu sentiasa menyuruh berbuat maksiat, lalai dan menunda amal maka keraslah hati dan keringlah mata daripada air mata taubat. Jika berdiri untuk sembahyang, akalnya menjelajah hingga ke seluruh ruang pemikiran yang terpendam dalam memorinya. Barang yang hilang pun boleh diingat di manakah tempat menyimpannya.

Maka terbukti sembahyangnya kosong, hatinya hampa, fikirannya tidak menumpu kepada kebesaran dan keagungan Allah. Bagaimanakah matanya boleh menangis, hatinya boleh takut dan akalnya boleh tunduk di hadapan Maha Pencipta?

Begitu juga ketika membaca ayat al-Quran, ia hanya semata-mata untuk pahala, kerana ilmunya belum sampai kepada penghayatan yang mendalam terhadap isi kandungan al-Quran. Padahal Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dalam kesedihan. Maka menangislah apabila kamu membacanya. Jika kamu tidak dapat menangis maka buat-buatlah menangis. Dan elokkan suara saat membacanya kerana siapa yang tidak melagukannya dia bukanlah termasuk golongan kami.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, Abu Ya’la dan al-Baihaqi daripada Saad bin Abi Waqqash)

Rasulullah SAW pernah meminta Abdullah bin Mas’ud untuk membacakan al-Quran kepada Baginda. Beliau membaca awal surah al-Nisa hingga ke ayat 41 dan beliau melihat Rasulullah SAW menitiskan air mata.

Abdullah bin al-Syakir berkata:

“Aku pernah menemui Rasulullah SAW ketika Baginda bersembahyang, sementara dari dalam tubuhnya terdengar suara seperti air yang mendidih kerana tangisan.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Bagaimana jika air mata tidak juga mahu keluar, puas sudah hati memaksa sedih supaya kekhusyukan boleh singgah, walaupun sekejap. Kesilapan apakah yang dilakukan hamba Allah yang tidak dapat menangis ini?

Pertama, kerana ceteknya ilmu sehingga hati dan akalnya tidak dapat meneroka lebih jauh memikirkan keagungan Allah.

Kedua, kerana dirinya tidak merasai kesusahan ujian dan musibah, segalanya berjalan dengan aman dan lancar dalam kehidupannya sehari-hari.

Ketiga, berlebih-lebihan dalam bergembira, bergurau dan bermain-main. Keempat, kurang muhasabah dan bertafakur melihat kelemahan dan kekurangan diri. Dan yang kelima, berlebihan pula membanggakan amal sehingga mematikan rasa takut kepada Allah.

Menangis tidak semestinya menunjukkan seseorang itu lemah bahkan menangis kerana takut kepada Allah boleh melonjakkan semangat seorang hamba untuk mengorbankan segala-galanya yang dimiliki demi Tuhannya.

Bukankah syuhada menumpahkan darahnya kerana meninggikan kalimah Allah, biarlah kita mulakan ia dengan menitiskan air mata kerana Allah, itu saja yang termampu kerana harga setitis air mata itu lebih mahal dari dunia dan segala isinya.

Ucapan Pengarah Ilaj Qulub


Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Saudara Pengerusi Majlis,
Yang dialu-alukan penceramah, al-Fadhil Ustaz Aman Daiman bin Md Zain,
Yg dihormati YDP Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS) sesi 2010/2011,
Saff kepimpinan PMUS,
Yang berusaha Timbalan Pengarah program Ilaj Qulub,
AJK program Ilaj Qulub,
Mahasiswa/i, Ikhwah dan akhwat yang dikasihi sekalian…

Iqbal berkata:

HIMPUNKANLAH DAUN-DAUN YANG BERHAMBURAN INI
HIDUPKANLAH LAGI AJARAN SALING MENCINTA
AJARI LAGI KAMI BERKHIDMAT SEPERTI DULU

Segaja saya mulakan bicara dengan membaca ungkapan indah penyajak terkenal Iqbal bagi menggambarkan betapa saya juga punya hasrat yang sama sepertinya. Merindui umat ini kembali bersatu seperti dahulu.

Meneliti secara dalam ungkapan Iqbal itu betapa sangat nyata bahawa benar umat Islam kini ibarat daun-daun yang bertebaran. Ditiup angin terbang berhamburan. Tiada ikatan, tiada kesatuan, tiada kekuatan.

Ayuh Bersatu
Begitulah juga keadaannya kita di Universiti Sultan Zainal Abidin, mahasiswa/I Islam sudah hilang kekuatannya dan keizzahaannya. Kita seolah-olah diperkotak-katikkan. Dipandang sinis juga diketepikan. Jumlah kita yang ramai, yang mendominasi universiti ini tiada memberi apa-apa kesan. Saya mahu mengulang ungkapan yang pernah saya bicarakan dahulu pada sesi Ilaj Qulub yang lepas bahawa keadaan kita (mahasiswa Islam/ FKI) dengan bilangan yang ramai tidak memberi kesan kepada bi’ah di universiti ini. Sepatutnya kitalah yang mencorakkan bumi ini. Bumi UNiSZA ini. Mengisi dan melakarkan hari-hari di sini dengan keredhaan dan rahmat Allah SWT pada menanam benih-benih bi’ah solehah. Itulah tugas dan peranan setiap daripada kita.

Anda semua boleh melihat apa yang sedang melanda universiti ini. Budaya hidonisme mula merebak dan digalakkan. Contoh paling dekat pada pesta konvokesyen lepas. Anda sendiri boleh menilai. Ingat, universiti ini adalah universiti Islam. Fakulti Pengajian Kontemporari Islam mendominasi universiti ini. Tapi lihat dan perhatikanlah, kehormatan dan maruah kita seakan tercalar malu. Hati saya seperti dirobek-robek melihat perubahan universiti ini secara perlahan-lahan. Mungkin juga kalian turut merasainya. Sedarlah!

Kami PMUS akan terus bergerak dan berjuang. Tetapi hanya kami tidak cukup. PMUS perlukan sokongan daripada seluruh mahasiswa FKI khususnya. Jentera persatuan yang lain mesti menyatu dan bekerja bersama. Agar kekuatan kita terserlah digeruni yang lain. Kita bergerak dan berjuang bersama membina kekuatan lalu kita gegarkan bumi ini dengan aksi-aksi kita yang padu. Islam mesti diangkat kembali ke tempatnya.

Selamat Kepada Mahasiswa/I Baru
Ucapan selamat dan tahniah kepada mahasiswa/I baru ke UNiSZA kerana telah berjaya menempatkan diri di sini. Bersyukurlah kerana terpilih untuk melanjutkan pengajian di sini. Sesungguhnya anda bertuah kerana universiti ini masih belum dinodai sepenuhnya oleh gejala negative berbanding universiti lain di Malaysia. Suasana di sini masih terjaga sebahagiannya. Maka berusahalah dan bermujahadahlah sehabis mungkin. Kemenangan dan kejayaan menanti di hadapan. insyaAllah!

'Salam Mujahadah & Selamat Berjuang'

Abu Zaid
Pengarah ‘Ilaj Qulub
Lujnah Dakwah & Tarbiyyah PMUS
Sesi 2010/2011

Tuesday, July 27, 2010

Singa Di Siang Hari, Rahib Di Malam Hari


Allah SWT telah menciptakan makhluk-Nya berpasang-pasangan, begitu pula silih bergantinya kehidupan di bumi ini. Ada laki-laki dan perempuan, dan ada siang dan malam. Bagi sebagian manusia, malam hanyalah saat beristirahat dan kepenatan dunia.


Walaupun ada juga yang masih sibuk dengan pekerjaan-nya. Namun ada juga yang justru menghabiskan malam-malam panjang itu untuk melawan Tuhannya dengan maksiat dan kemungkaran.

Bagaimana malamnya seorang mukmin? Bagi seorang mukmin, malam adalah bagian kehidupan yang sangat dirindukan bak malam pengantin. Disanalah seorang mukmin menjumpai sang Kekasih Allah SWT, berkhalwat dengan-Nya. Dan dengan cara seperti itu pulalah Rasulullah dan para sahabat menghabiskan malamnya.

Disiang hari mereka bagaikan singa, menerkam geram dan musuh-musuh Allah. Sementara dimalam hari mereka bagai rahib, tak henti menitiskan airmata taubatnya. Dalam kecintaan dan kelazatan bertaqqarub, malam serasa seperti di syurga.

Di sisi lain. Allah pun demikian. Amat besar cinta-Nya kepada hamba yang menemui-Nya dimalam hari. Dalam sebuah hadis disebutkan, pada sepertiga malam terakhir, Allah turun ke langit bumi. Saat itulah waktu yang sangat mustajab bagi doa.

Karenanya, saat pertama kali masuk Madinah, seperti dikisahkan Abdullah bin Salam, Rasulullah mendidik umat Islam dengan nasihat-nasihatnya; "Wahai segenap manusia, sebarkan salam, berikankanlah makan, sambungkanlah silaturrahim dan shalatlah kamu diwaktu malam saat orang lain tertidur lelap, maka kalian akan masuk syurga dengan selamat." (HR. Imam Hakim, Ibnu Majah, dan Tirmidzi)

Selain tempat munajat, shalat malam adalah madrasah ruhiyah, agar seorang mukmin memiliki benteng dalam menghadapi berbagai ujian dan cobaan serta ganguan keduniawian. Disinilah jiwa dilatih untuk selalu terikat dengan Rabbnya.

Maka, malam menjadi amat berharga bagi mukmin. Mereka yang tidak memanfaatkan malam dengan baik, tidak akan dapat mencari gantinya disiang hari. Malam adalah sumber kekuatan jiwa, tenaga baru bagi kalbu, saat indah untuk ibadah, serta tangga terdekat dalam taqarub kepada Rabb-Nya

Dalam situasi kita sekarang yang penuh dengan kerosakan moral saat ini, setiap mukmin hendaknya menata kembali malam-malamnya. Sudahkah ia pergunakan dengan baik? Atau justru malam-malamnya ia penuhi dengan daki-daki maksiat dan lumpur dosa? Malam adalah bagian penting dari hidup setiap orang.

Sekali hilang, selamanya tidak akan terulang lagi. Di tengah malam yang hening dan pekat, umat ini menantikan sujud-sujud panjang orang-orang beriman. Sebab dari sana, energi perbaikan bangsa dapat tersimpan.

Sunday, July 25, 2010

Tentera Subuh


"Orang islam tidak akan dapat menewaskan kami (bangsa yahudi) seandainya jemaah solat subuh kamu tidak seperti ketika solat jumaat,"
Begitulah ucapan seorang pendeta bangsa yahudi.

Sungguh dahsyat aura dan kekuatan orang yang berjemaah di pagi hari, ketika orang lain asyik dengan selimutnya di atas tilam beralaskan bantal yang empuk. Mahu tidaknya, mereka ini sanggup mengorbankan tidurnya demi mengabdikan diri mereka untuk Raja bagi semua raja di dunia ini. Bahkan jika ditambahkan dengan solat sunat sebelumnya, merekalah orang yang paling hebat di muka bumi ini. Jihad yang paling besar sekali adalah jihad melawan nafsu melebihi segala jenis jihad.

Sabda Rasulullah,
"Barangsiapa yang bersolat sunat sebelum Subuh (Rawatib), pahalanya adalah sama seperti mereka yang bangun malam (iaitu orang yang mengerjakan solat tahajjud di malam hari)".
Jika semua orang menghayati dengan hati dan nurani seorang insan yang bergelar hamba kepada Tuhan yang Maha Esa dan pengikut setia Rasulullah, pasti kita semua tidak akan berani dikacau oleh musuh-musuh Allah lagi, bahkan mereka akan tunduk di tangan kita dengan mudah sekali. Tentera panglima islam yang agung, Salahudin Al-Ayubi menjamin kekuatan tenteranya dengan bangun di malam hari beserta solat subuh berjemaah.

Mengikut keutamaan solat berjemaah pula, solat subuh berada di 'ranking' pertama dalam senarai solat fardhu, diikuti solat isya', asar, zohor, dan seterusnya maghrib. Ini kerana solat subuh memerlukan pengorbanan seseorang untuk melawan nafsu tidurnya. Jika kita melihat keadaan hari, surau dan masjid kebanyakannya dipenuhi ketika solat apa? Ketika solat maghrib orang ramai di masjid atau surau ini, sedangkan kalau mengikut 'ranking' keutamaan solat maghrib adalah yang paling akhir sekali. Bukan nak dibanding-bandingkan solat-solat fardhu ini, tapi nak menunjukkan betapa pentingnya jemaah solat subuh bagi menjamin kekuatan umat islam di zaman umat islam ketika ini dengan mudah dipijak-pijak oleh musuh-musuh Allah.

Jika tidak percaya, praktikkanlah, pasti kamu semua akan merasainya kehebatan solat subuh ini. Cuba bayangkan kalau permulaan hidup kita dalam hari itu dimulai dengan mengahadirkan diri dalam rumah Allah, betapa Allah akan mempermudahkan hidupnya pada hari itu. Terdapat keberkatan pada orang yang menunaikan solat subuh berjemaah di rumah Allah ini. Sebagai tambahan, jika kita hendak membuat doa selamat atau tahlil dan sebagainya, jemputlah orang yang solat subuh berjemaah ini. Bahakan elok lagi jika kita buatnya selepas solat subuh. Ini kerana keberkatan orang yang bersolat subuh itu.

Untuk menjamin umat islam yang kuat dan bertamadun semula adalah bermula dengan jemaah subuh. Jika kita inginkan agama kita bangkit semula, binalah ia kembali dengan solat subuh.

"Wahai umat Muhammad, bangunlah kamu semua daripada mimpi dunia yang penuh dengan tipu daya ini. Jadilah orang yang disayangi Rasulullah, bukan orang yang dibenci oleh Baginda"


Mereka Ibarat Buih Di Lautan

Sebuah hadis diriwayatkan daripada Thauban r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:
"Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama."
Maka para sahabat r.a. pun bertanya,
"Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?"
Sabda Baginda SAW:
"Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut."
Sahabat bertanya lagi,
"Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?"
Jawab Rasulullah SAW,
"Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn."
Sahabat bertanya lagi,
"Apakah itu al-Wahn?"
Rasulullah SAW bersabda:
"Cintakan dunia dan takut akan kematian."

Tuesday, July 20, 2010

Aluan PMUS


Salamun’alaik

Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum!

Ungkapan awal itu kami tujukan kepada seluruh mahasiswa/i baru tahun satu sesi 2010/2011 ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Khasnya juga kepada mahasiswa/i Fakulti Kontemporari Islam, Jabatan Usuluddin. Harapnya kehadiran kalian memberi cahaya dan rahmat buat bumi tercinta ini. Bertuahlah kerana kalian terpilih untuk menempatkan diri di sini demi meneruskan kembara jihad ilmu.

Universiti Medan Jihad Ilmu

“Tuntulah ilmu hingga ke negeri China.”

Ungkapan taujih itu sangat menepati saranan dan gesaan suasana dunia saat ini yang mendesak kita, generasi muda pewaris bangsa untuk mempersiapkan diri dengan ilmu. Masakan kata-kata itu bisa terluncur pada belahan lidah generasi awal hingga menjadi zikir-zikir peneguh semangat, dipesan dari satu keturunan ke satu keturunan lain sampai hari ini. “Tuntulah ilmu hingga ke negeri China.” Ditambah dengan saranan baginda Rasulullah SAW, “Menuntut ilmu itu difardhukan ke atas setiap Muslim.” Mujurlah mereka yang terawal dari kita berjaya pada kehidupan mereka merencana dunia. Lahirnya Ibn Sina, Ibn Sirin, Ibn Batutah, Imam Al-Ghazali bahkan ramai lagi yang tidak bisa terhitung ilmu dan kepakaran mereka. Mereka itu bersungguh pada memahami dan mendalami ilmu. Ilmu makanan batiniyyah. Imam Nawawi itu tidak berkahwin kerana tenggelam dengan cinta kepada ilmu. Imam Syafie pernah menahan lapar demi kerana ilmu. Universiti sebagai medan jihad ilmu. Jihad itu ertinya kesungguhan. Kesungguhan dalam menadah ilmu sangat ditekankan agama.

Salah Faham

Salah apabila kita beranggapan jihad ilmu itu berkisar di bilik-bilik kuliah sahaja. Bergaul dengan buku-buku silibus pembelajaran dan nota kuliah yang disediakan pensyarah. Jangan dikongkong pemikiran dan kebebasan jihad ilmu hanya di bilik kuliah. Universiti sebagai medan ilmu punya pengertian bahawa ilmu itu sentiasa ada disekeliling kita. Bererti kita dikelilingi dengan ilmu, hanya sahaja tinggal kita yang mendapatkannya. Mendapatkannya tidak lain dengan kesungguhan. Itulah jihad ilmu. Di masjid dan surau terisi dengan majlis-majlis ilmu. Diserikan dengan program-program ilmu anjuran persatuan pelajar, forum, diskusi, debat, pidato dan lainnya. Pengedaran risalah dan buletin atau makalah juga sebahagian daripada sumber bagi mendapatkan ilmu.

Ambil Kesempatan

Justeru, jihad ilmu itu bukan pada bidang ilmu yang di ambil di universiti semata tetapi juga diluar jurusan kita. Mahasiswa/i bukan jurusan pengajian Islam bisa sahaja mendalami ilmu agama di sini. Mahasiswa/i pengajian Islam boleh mendalami ilmu sains, bahasa, sastera, ilmu kepimpinan dan lainnya. Dengan demikian akan terserlahlah pengertian pada jihad ilmu.

Akhirnya kami saff kempimpinan Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS) mengucapkan selamat datang kepada seluruh mahasiswa/i baru.

“Salam Mujahadah dan Selamat Berjuang!”


Saff Kepimpinan PMUS

Sunday, July 18, 2010

'Durrah Safiyyah' : Melabuhkan Tirainya

Hamdalillah!

Syukur program forum ‘Durrah Safiyyah’ bisa berjalan dengan lancarnya mengikut apa yang dirancangkan. Bertemakan ‘Wanita Mukminah Permata Ummah’ kami ahli jawatankuasa program serta Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS) punya hasrat menggunung agar perbincangan forum ini mampu menyuntik kesedaran ber’syariat’ dalam hidup para mahasiswi khususnya dan seluruh warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) umumnya.

Saya menyetujui lontaran kata-kata ahli panel, al-fadhilah Ustazah Nur Salimah berkenaan saranan kita mempergiatkan usaha dakwah di bumi UNiSZA. Membangkitkan semulah bi’ah Islamiah di sini sebagaimana Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dahulu. Bahkan di zamannya telah lahir ramai aktivis Islam, daie, muallim dan mereka yang berpegang teguh dengan Dinul Islam.

‘Di mana para daie…’

‘Di mana golongan munzir…’ katanya.

‘Hidupkan amalan nasihat menasihati dan tegur menegur…’ tambahnya.

Agar program ini tidak sekadar berlegar di meja perbincangan. Maka kami (PMUS) mengajak diri dan seluruh warga UNiSZA beriltizam pada apa yang telah disampaikan dengan menzahirkan melalui perbuatan. Lalu mengajak teman-teman seagama, ‘Hidup bersama Islam’.

Agar lahir para muslimah yang suci hatinya, yang bersih fikrahnya lalu tampaklah keindahan pada akhlak dan peribadinya dek simbahan Iman, ‘Terpandang, Teringat Tuhan. Memandang, Memuji Tuhan.’ Itulah Durrah Safiyyah.

Salam untukmu wahai Permata Suci!


Oleh: Timbalan Pengarah Program Durrah Safiyyah

Mari Kita Duduk Sebentar...Kita Beriman Sejenak


Sesungguhnya kita sentiasa terdedah kepada dua tarikan: Tarikan keimanan, niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab. Dengan itu dia berada dalam amal salih dan azam kebaikan. Tarikan syaitan pula dari sudut yang lain, menghiasi futurnya dan menghiasi cintanya kepada dunia. Menyebabkan dia berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah dalam mempelajari apa yang tidak diketahuinya.

Berulang-alik di antara kedua-dua tarikan ini adalah suatu yang sudah ditentukan oleh Allah, tidak akan berhenti, terus berlaku. Oleh kerana itulah, orang-orang yang beriman telah mewajibkan kepada diri mereka untuk menghadiri majlis-majlis tafakkur dan saling nasihat-menasihati di antara satu sama lain. Memeriksa diri daripada dihinggapi penyakit takabbur atau menolak kebenaran. Memeriksa hati daripada diselubungi penyelewengan. Memeriksa ilmu dan iman daripada tergelincir yang membawa kepada bid'ah atau kecuaian yang membawa kepada meninggalkan mana-mana perintah Allah dan petunjuk.

Mu'az bin Jabal telah menterjemahkan perasaan ini dengan satu perkataan yang telah menjadi satu fasal daripada perlembagaan orang-orang yang beriman. Beliau telah berkata ketika mengingatkan sahabatnya:

"Marilah kita duduk untuk beriman sejenak."

Perkataan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu ia berkata kepada Abu ad-Dardaa’ (ra) sambil memegang tangannya:

“Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolakbalik
daripada isi periuk yang sedang menggelegak.”


Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Puji-pujian hanya bagi Allah SWT Pemilik Sekalian alam. Selawat serta salam dihulurkan kepada Rasul junjungan Muhammad SAW, para sahabat r’anhum, ahlul bait dan sesiapa yang mengikuti jejak mereka hingga hari kiamat.

Seinfiniti kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan taufiq dan inayah-Nya, telah mengizinkan kami mewujudkan blog ini. Blog ini diinspirasikan sebagai wadah kepada kami untuk menyampaikan maklumat terutama kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) khususnya dan seluruh warga UNiSZA umumnya.

Laman ini juga diharap bisa dijadikan sebagai saluran penting untuk memperkayakan lagi maklumat dan ilmu pengetahuan di kalangan mahasiswa. Selain memperhebatkan lagi usaha tajdid dan pengislahan dikalangan masyarakat universiti.

Akhirnya, kami ahli jawatankuasa Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS) UNiSZA mengucapkan ‘Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum’ kepada para pengunjung laman ini. Kami mengalu-alukan segala buah fikiran, pendapat, komen jua nasihat untuk memantapkan lagi persatuan.

Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT

Menulis itu perjuangan!